Sabtu, 04 Mei 2013

Kebangkitan Raja-Raja Melayu di Kalimantan Barat


Kebangkitan Raja-raja Melayu di Kalimantan Barat


Catatan Perjalanan,:

IBNU RUSYDI


Perkongsian maklumat mengenai isu politik terkini serta sejarah Nusantara yang tidak diketahui umum


Lambang Kerajaan di Kalimantan Barat


Tidak banyak perkara menarik yang penulis perolehi semasa melawat Kalimantan Barat (Kalbar) sebelum ini, mungkin kerana tempoh waktu lawatan yang terhad. Penulis telah memilih untuk melawat Kota Pontianak, yang merupakan ibukota Provinsi Kalbar, merangkap pusat salah satu Kesultanan Melayu yang besar di kawasan ini satu ketika dahulu. 

Terasa jelas perbezaan taraf pembangunan dan kemudahan fasiliti sebaik sahaja bas yang dinaiki melepasi Biawak di sebelah Sarawak dan memasuki Entikong di sebelah Indonesia. Keadaan jalan yang dilalui agak teruk hinggakan tayar bas yang dinaiki pancit beberapa kali menyebabkan penulis tiba di Kota Pontianak semasa hari sudah mulai gelap sedangkan penulis bertolak pada awal pagi!

Lambang Kerajaan dan Bendera, Kesultanan Kadriah, Pontianak


Keesokan harinya, penulis tidak membuang masa untuk pergi ke Keraton Kadriyah, yang merupakan Istana peninggalan Kesultanan Pontianak. Memudahkan kerja penulis apabila pemandu yang membawa penulis mempunyai hujung pangkal nama Al-Kadri, yang kemudian mengesahkan kepada penulis bahawa beliau sememangnya berketurunan Sultan Pontianak. 

Sambil berjalan, penulis tidak melepaskan peluang untuk berbual dan bertukar maklumat dengannya mengenai pelbagai perkara terutamanya berkenaan dengan kewujudan Kerajaan (Kingdom) dan Kesultanan Melayu yang pernah wujud di bumi Kalbar ini satu ketika dahulu.

Terdapat hampir 12 buah Kerajaan/Kesultanan Melayu yang pernah berdiri di wilayah ini iaitu Kesultanan Sambas, Kesultanan Pontianak, Kerajaan Mempawah, Kerajaan Landak, Kerajaan Kubu, Kerajaan Matan, Kerajaan Sukadana, Kerajaan Simpang, Kerajaan Sanggau, Kerajaan Sekadau, Kerajaan Tayan, dan Kerajaan Sintang. Berbeza dengan Raja-raja Melayu di Sumatera yang lebih dekat budayanya dengan semenanjung Tanah Melayu, 

Raja-raja Melayu di Kalbar ini mempunyai pengaruh kuat budaya Jawa dan Dayak tempatan. Justeru itulah, selain daripada gelaran Sultan dan Yang Dipertuan Besar, ramai Raja-raja di sini memakai gelaran Panembahan, sementara kerabat di Raja yang lain tidak memakai gelaran Tengku/Tunku sebaliknya menggunakan gelaran Gusti dan Pangeran (atau Pengiran sebagaimana pemakaian Kerabat Di Raja Melayu di Brunei Darussalam).

Walaubagaimanapun, kesemua Raja-raja Melayu di sini telah dibunuh oleh tentera penjajah Jepun sekitar tahun 1944 dalam satu peristiwa menyedihkan yang dikenali sebagai Tragedi Mandor Berdarah.

 Selepas tamat Perang Dunia Ke-2, Raja-raja Melayu di Kalbar telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah persekutuan yang dikenali dengan nama "Daerah Istimewa Kalimantan Barat", yang diketuai oleh Sultan Pontianak ketika itu, iaitu Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie II. 

Walau bagaimanapun, berlaku konflik antara Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie dengan tokoh-tokoh kemerdekaan Indonesia yang berpusat di Jawa. Sebabnya hanya satu sahaja, Indonesia bertegas mahukan sebuah negara yang bercorak Kesatuan, sedangkan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie memperjuangkan sebuah negara bercorak Persekutuan (Federalisma), sebagaimana di Malaysia.




Sultan Syarif Abdul Hamid Al-Kadrie II,
 pencipta Lambang Negara Indonesia 



Sambil berjalan-jalan di sekitar Keraton, penulis terpaku pada satu bingkai kaca yang memaparkan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie sebagai pencipta lambang Garuda, iaitu jata negara Indonesia yang masih digunakan sehingga kini. Kerabat di Raja di Keraton tersebut hanya tersenyum sahaja memandang penulis, namun penulis dapat menyelami perasaan mereka yang mahukan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie diletakkan pada tempat yang sewajarnya, biarpun bukan sebagai Pahlawan Nasional, tetapi sekurang-kurangnya sebagai salah seorang tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan negara Indonesia. Namun begitu, ‘dosa’ yang membelenggu Almarhum Sultan ini adalah kerana dia memperjuangkan sebuah negara Persekutuan, hingga membayangi sumbangan besarnya sehingga kini.


Pangeran Ratu Muhammad Tarhan Winata Kesuma, 
Raja Sambas yang masih remaja


Penulis juga dimaklumkan bahawa kini waris-waris Keluarga di Raja di Kalbar kini telah menghidupkan semula institusi Kerajaan/Kesultanan masing-masing. Sebagaimana di Sumatera Timur, pengwujudan semula Kerajaan/Kesultanan ini bukannya untuk menghidupkan semua sistem monarki, tetapi bagi melestarikan warisan sejarah dan budaya setempat.


Pangeran Ratu Drs. Gusti Suryansah,
 Raja Landak



Sultan Syarif Abu Bakar bin Syarif Mahmud Al-Kadrie, 
Raja Pontianak


Dr. Ir. Pangeran Ratu Mardan Adijaya, 
Raja Mempawah


H. Gusti  Arman, Raja Sanggau




Sri Paduka Tuanku Muhammad Ikhsani Shafiuddin 
ibni al-Marhum Panembahan Muhammad Jamal ud-din, 
Raja Sintang




Sultan Muhammad Jamaluddin II, 
Raja Simpang





Gusti Muhammad Efendi Bin Sidik Gusti Agung,
 Raja Sekadau

Oleh kerana waktu yang suntuk, penulis terpaksa melupakan hasrat untuk bertemu dengan Sultan Pontianak. Sambil melihat persekitaran Keraton Kadriah yang usang , penulis berasa bersyukur dan betapa bertuahnya Raja-raja Melayu di negara kita masih didokong utuh oleh rakyat biarpun kekuasaannya beberapa kali dicabar oleh pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk melenyapkan kuasa politik Melayu-Islam. 



Pangeran Ratu Kertanegara Gusti Kamboja,
 Raja Matan

Dalam perjalanan pulang, penulis kembali menyambung perbualan dengan pemandu. Berkenaan dengan pelbagai isu dari kebanjiran pendatang dari pulau Jawa hingga pernah mencetuskan rusuhan antara kaum Melayu dan Dayak dengan masyarakat Madura, pengusaan ekonomi oleh kaum Tionghua walaupun bilangan mereka yang minoriti, hinggalah kepada kewujudan semula Sultan yang kini hanyalah sebagai simbol tanpa kuasa.

 Dua perkara tersebut sudah pernah berlaku di negara kita, dan penulis berharap perkara terakhir yang disebutkan tidak terjadi kerana jika runtuh Institusi Raja-raja Melayu di negara kita, akan lenyap jugalah warisan kuasa politik Bumiputera di negara kita. Penulis juga mendengar rungutan pemandu mengenai segelintir pihak yang mempertikaikan kesetiaan Almarhum sultan Abdul Hamid Al-Kadrie kepada pembentukan negara Indonesia. Menurutnya, Almarhum Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie pernah ditawarkan oleh Pemerintah Negeri Sarawak, Malaysia. 

Namun Almarhum Sultan menolaknya kerana setianya baginda kepada Indonesia. Apa yang ditawarkan? Adakah tawaran kepada Daerah Istimewa Kalimantan Barat untuk bersama-sama Sarawak menyertai Malaysia, atau membentuk sebuah negara sendiri? 

Tidak pula dinyatakan. Penulis hanya mendiamkan diri sahaja kerana menganggap maklumat tersebut adalah maklumat tidak rasmi yang belum tentu kesahihan nya.

 Namun terfikir juga, sejarah pada hari ini mungkin berbeza jika tawaran tersebut diterima.


Nota :



1. Hantu Pontianak di Indonesia di panggil sebagai Kuntilanak @ Sundel Bolong. Tetapi nama Kesultanan Pontianak memang diambil daripada nama hantu tersebut yang pernah ada di kawasan ini sewaktu negeri ini dibuka.
(wallah Hualam )

2. ‘Gusti’ adalah satu gelaran kehormat yang digunapakai oleh Kerabat Di Raja di Indonesia, sebagaimana gelaran ‘Tengku/Tunku’ di negara kita. 

Lihat juga catitan lama :